kembara iman, aku tak mahu pulang!

                                                                   
                                                                            (( 21hb September 2017.))




Aku berada di puncak paling tinggi di Kashmir tika mana iman mereka diuji. Iman ku juga teruji, tidak dinafikan. Manusia, memang makhluk yang tidak sempurna dan sering kali melakukan kesilapan. Tapi tak sekali pun ampunan Allah tertutup buat manusia yang berdosa. Sujudlah, wahai manusia. Jika kau benar mengerti erti sujud pada tuhan, pasti kewajipan itu takkan sesekali kau tinggalkan. Adakah kau tahu berapa ramai manusia yang menginginkan sujud tapi tidak mendapatkannya? Adakah kau tahu berapa ramai insan yang menghitung baki sujud yang tinggal dalam hidupnya sebelum menemui tuhan tapi kau hanya membiarkan waktu sujud pergi begitu sahaja? 

Kembara ini membuatkan perasaanku remuk teruk, tapi tidak aku nafikan kembara ini juga memperbaiki iman ku, menginsafi segala nikmat yang diberi tuhan, peluang menjadi hamba yang bersyukur dan  sentiasa memberi. Aku sedar semakin jauh aku berjalan, semakin kerdil diri pada tuhan semesta alam. Signifikannya perjalanan kali ini ialah peluang mendapatkan nasihat alam padaku. Tenangnya pepohon yang melambai di setiap lorong yang ku lalui walaupun musim berganti dan ia teguh berdiri. Hebatnya sungai yang memutih mengalir tanpa penat menyirami tanah yang kering. Kedua-duanya ialah sifat yang diperlukan oleh seorang manusia bergelar guru, sebuah cita-cita yang ku angankan. 

Aku tak mahu pulang, kerana masih belum cukup ibrah yang ku ambil. 7 hari di sebuah tempat yang asing dariku, aku sungguh bersyukur untuk sebuah huluran persahabatan daripada beberapa insan hebat. Terima kasih, ya Allah!

No comments:

Post a Comment