hawa kebaikannya





Kalian semua pernah membaca buku ‘bagaimana anyss naik ke langit’ karya saudara Faisal Tehrani? Ikhlas ku katakan yang aku pembaca karya faisal tehrani dari sekolah sehinggalah kini. Kisahnya menarik dan sarat dengan mesej kemanusiaan. Tapi bukan itu fokus penulisan ku kali ini. Cuma aku tertarik untuk menulis sesuatu di blog ini kerana ku fikir ia punya kaitan secara tidak langsung dengan seniorku.

Bagiku dia seorang yang sangat bermotivasi, orangnya baik, menjaga penampilan (maksudku kemas walaupun bukan dengan baju branded), pintar dan yang penting adalah tidak penat dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Dalam seriusnya tetap sesiapa saja selesa bekerja di bawahnya. Dalam guraunya pula ada nasihat yang ‘deep’. Ketika mana senior satu batch dengannya semua akan menghabiskan pengajian, aku dan rakan-rakan pula yang menjadi senior. Seperti yang ku duga, mereka berjaya menempatkan diri masing-masing ke universiti untuk meneruskan perjuangan termasuklah seniorku ini.

Namun, beberapa bulan setelah itu aku mendengar khabar kurang baik tentangnya. Dia selalu saja sakit, pengsan dan terpaksa menangguhkan pengajian. Tidak menyangka akan kondisi dirinya sebegitu. Mendengar khabarnya dari senior satu universiti dengannya membuat kami berdoa dan berharap supaya penyakitnya sembuh dan dia dapat meneruskan pengajian dengan baik.

4 tahun berlalu tanpa khabar dari senior-seniorku termasuklah dia. Sejak aku mengambil keputusan ke luar negara untuk menyambung pelajaran dan kembali ke Malaysia, lagilah menghilang segala nombor telefon dan berita daripada mereka. Akhirnya, baru-baru ini sedang aku menonton tv tiba-tiba aku perasan sosok di tv tersebut adalah dia. Dia menjadi peserta program dakwah dan dia kelihatan sihat seperti dulu! dia kembali memberi sesuatu untuk ummat. Namun, hari ini aku mendengar perkhabaran itu.....

Hari ini, bersamaan 27 rejab tarikh peristiwa israk mikraj….dia diambil pulang ke pangkuan Allah swt. Bagaikan Anyss yang naik ke langit, ruhnya juga diangkat bertemu pencipta yang abadi penuh tenang. Damailah wahai hamba Allah, tenanglah sahabat seperjuanganku, semoga semua lelah dan sakitmu terhenti dan dikau mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya….

    “Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang yang Engkau kasihi dan beriman. aku yakin hawa kebaikannya tidak akan hilang dan dikira sebagai amal soleh di pandanganMu...”

~catatan ini ku tulis sejurus selepas mendengar perkhabaran tentang pemergiannya.~