wanita tabah itu........



Bismillah Walhamdulillah Wallahuakbar, wala haw la wala quwwata illa billah,



Rasanya sudah 7 tahun aku mengenali dia. Tidak pernah sekali pun aku melihat dia menangis kecuali ketika dia menonton cerita di tv yang sedih. Bagiku kehidupan realitinya yang kurang bernasib baik itu diharunginya dengan tabah hati serta jiwa yang cekal. Dia dilahirkan dalam keluarga miskin, dan kemudian kedua ibu bapanya bercerai  ketika dia masih kecil. Ku kira oleh kerana ayahnya mempunyai pendapatan dan dia masih kecil, jadi dia telah dipelihara oleh ayahnya. Nasibnya baik kerana nenek belah ayahnya itu wanita tua yang baik dan sanggup membelanya apabila ayahnya berkahwin lain. Aku  tak dapat bayangkan masa depan seorang anak kecil yang hidup tanpa belaian kasih sayang ibu dan hanya merasai secebis kasih sayang seorang ayah. Layanan ibu tirinya pula hambar seperti biasa yang kita lihat dalam drama tv petang-petang.


Meningkat remaja adalah masa yang paling mencabar buat seorang gadis. Aku tahu kerana aku melaluinya. Perasaan bukan lagi seperti kanak-kanak, cepat tersentuh dan memberontak untuk bebas. Dia juga begitu, apatah lagi bila terdapat masa lalu dan persekitaran yang tidak membina. Mungkin sebahagian kita mempunyai ibu dan ayah yang penyayang, prihatin terhadap diri kita dan melengkapi kita dengan keperluan hidup. Anak-anak yang lahir dari ibu bapa yang prihatin pun boleh menjadi liar, apatah lagi yang tidak. Dia mula bergaul dengan agak bebas, pakaian dan perhiasan juga berubah. Tidak seperti gadis yang baik, boleh ku katakan. Khabar buruk datang lagi ketika itu apabila ibu kandungnya kembali menukar agama asal dan berkahwin dengan lelaki dari agama itu.




Jodohnya tiba awal dan itu yang membuatkan ku gembira. Perkahwinan merubah segala yang buruk tentangnya. Dirinya sudah mula bertudung dan memakai pakaian yang sopan. Bukankah perkahwinan itu melengkapkan separuh daripada iman seseorang. Hidupnya gembira buat seketika. Namun, ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Keluarga mertua yang tidak memahami ditambah tradisi keluarga mertua yang sebenarnya mengekang menjadikan dia umpama orang terbuang. Ditambah pula rumah tangganya diuji dengan ketiadaan cahaya mata. Sudah puas berusaha di sana sini; hospital, bomoh, tukang urut dan macam-macam ubat sudah ditelan, namun bab anak ini semuanya adalah ketentuan tuhan. Tapi, dirinya pula disalahkan oleh keluarga mertua sedangkan doktor sudah memberi keputusan bahawa kesihatannya baik dan boleh melahirkan anak. Memang manusia tidak bersyukur!  



Wanita tabah itu semakin hari semakin dipendam perasaannya. Ketidak adilan yang berlaku padanya membuatkan dia menjadi semakin jauh dari sifat belas, sifat kasihan pada orang yang menzaliminya. Tapi, bukan cercaan yang dilemparkan pada mereka, cuma sikap kepeduliannya terhadap keluarga mertua semakin hari semakin hilang. Dan pabila mertua yang sakit tidak dijenguk, kemarahan orang di sekelilng semakin memuncak, maka terjejas teruk rumah tangganya. Ditambah pula ramai 'penghasut' yang datang untuk meruntuhkan masjid yang dibina. Ramai mengatakan dia anak derhaka, namun Allah Maha Mengetahui apa yang kita ketahui. Allahuakbar! Sedarkah kalian salah kalian! Jerit wanita tabah itu dalam hati.


Aku menangis untuknya semalam, dan juga hari ini. Aku selalu berdoa agar dia ditunjukkan jalan jika hilang pimpinan. Aku muliakan dia kerana dia wanita yang sntiasa diuji, sentiasa! Moga Allah memasukkanmu ke dalam syurga yang penuh nikmat ats segala sabarmu, wahai wanita tabah!

~midnight, Kuala Lumpur disimbah cahaya.~

No comments:

Post a Comment