BUKU dan BAHASA

       


 Selawat dan salam buat junjungan Nabi saw, keluarga dan sahabat baginda. Buat daie-daie dan mad'u yang sentiasa mendapat rahmat Allah swt dan ampunanNya. Buat keluarga yang jauh di tanah air Malaysia, sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa memberikan moral support. Thank you!

        Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari daripada sikap cuai dan lalai. Begitu juga saya. Akhir-akhir ini  saya terfikir akan hobi saya yang semakin menjauh iaitu serius menghadamkan isi kandungan buku. Mungkin sibuk, mungkin malas dan mungkin juga punya hobi lain.

         Sejak dari kecil, hobi saya adalah membaca. Apa sahaja jenis bacaan samada buku cerita, komik, surat khabar, ensiklopedia, buku teks sekolah, majalah, cerpen malah iklan-iklan di papan kenyataan juga. Buku adalah teman yang selalu saya bawa ketika musafir ke kampung. Melalui buku yang dibaca, saya dapat rasakan ilmu saya bertambah dan pemikiran saya berkembang dan ada kalanya menjangkau dari biasa. Melalui buku juga, manusia bisa mencipta imaginasi yang hebat dan membawa mereka kepada usaha untuk merealisasikan imaginasi itu.

         Saya merasakan hobi membaca buku ini saya warisi dari abah kerana beliau juga begitu. Subjek bacaan yang paling saya minati juga sama seperti abah. Tidak hairanlah abah merupakan salah satu idola saya. ^_^ . Disebabkan hobi ini, terdapatnya mini perpustakaan di rumah saya yang mana menempatkan buku-buku yang kami sekeluarga beli. Ketika sekolah rendah pula, hampir setiap minggu abah membawa saya ke perpustakaan awam untuk membaca buku. Saya menyedari bahawa diri saya berminat membaca karya-karya berat adalah pada umur saya 11 tahun. Ia bermula apabila abah membelikan kami adik beradik buku Malaysia’s book of record edisi khas.   

            Buku yang baik mempunyai elemen pembangkit leka, pembakar semangat, dan pembangun jiwa. Kerana itu banyak manusia yang hampir putus asa dengan kehidupan, banyak manusia yang hilang arah, banyak manusia yang luntur semangat boleh disedarkan oleh cebisan kata-kata dalam sebuah buku sahaja.

           Dan apabila menyentuh soal buku, ia memang tidak dapat lari dari satu perkataan iaitu BAHASA. Ya, bahasa! Kerana pastilah buku yang ditulis mempunyai bahasa yang tertentu samada bahasa melayu, arab, perancis, cina, india, dan sebagainya. Mengikut pendapat saya, walau sehebat mana sesebuah karya atau seagung mana tulisan itu, jika kita sebagai pembacanya tidak memahami bahasa yang dicoretkan dalam buku tersebut, maka hilanglah elemen yang saya katakana di atas. Percayalah!

          Bayangkan kita sedang membaca karya agung yang ditulis penulis terkenal yang katanya buku motivasi pembangkit jiwa berbahasa Jerman yang mana kita tidak pernah mempelajarinya dan memahaminya. Sudah tentulah kita tidak dapat merasai atau menikmati indahnya kata-kata di dalam buku tersebut! Oleh itu, dalam memahami karya-karya yang dinilai hebat, haruslah kita memahami bahasanya dahulu.

           Saya banyak melihat rakyat negara Indonesia dahulunya sangat bersemangat apabila membaca tulisan dan mendengar ucapan mantan presiden mereka iaitu Soekarno dan Suharto. Begitu juga di negara arab, ramai orang terinspirasi dengan karya-karya Dr. Yusuf al-qardhawi dan ulama’-ulama’ lain lagi. Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya, karya-karya penulis hebat seperti Pak Samad ( A. Samad Said).

         Salah satu faktor Kebangkitan rakyat di negara-negara di dunia ini juga adalah kerana kefahaman dan celik ilmu pengetahuan yang bisa terhasil dari menelaah buku-buku yang berunsurkan revolusi dan pembaharuan serta semangat melawan kezaliman dan penindasan. Jelaslah sebuah buku dan secara tidak langsung elemen bahasa merupakan unsure yang sangat penting bagi dunia hari ini khususnya mahasiswa dan anak muda untuk mengembangkan pengetahuan, melebarkan pemikiran dan idea serta memperoleh input berguna.


Ayuh mulakan langkah pertama dengan iqra’! start with al quran!

~moga kemalasan dan kesibukan tidak dapat menghalangi diri untuk membaca~

No comments:

Post a Comment