Kalian semua pernah membaca buku ‘bagaimana
anyss naik ke langit’ karya saudara Faisal Tehrani? Ikhlas ku katakan yang aku pembaca
karya faisal tehrani dari sekolah sehinggalah kini. Kisahnya menarik dan sarat
dengan mesej kemanusiaan. Tapi bukan itu fokus penulisan ku kali ini. Cuma aku
tertarik untuk menulis sesuatu di blog ini kerana ku fikir ia punya kaitan secara
tidak langsung dengan seniorku.
Bagiku dia seorang yang sangat bermotivasi,
orangnya baik, menjaga penampilan (maksudku kemas walaupun bukan dengan baju
branded), pintar dan yang penting adalah tidak penat dalam menjalankan
kerja-kerja dakwah. Dalam seriusnya tetap sesiapa saja selesa bekerja di
bawahnya. Dalam guraunya pula ada nasihat yang ‘deep’. Ketika mana senior satu
batch dengannya semua akan menghabiskan pengajian, aku dan rakan-rakan pula
yang menjadi senior. Seperti yang ku duga, mereka berjaya menempatkan diri
masing-masing ke universiti untuk meneruskan perjuangan termasuklah seniorku
ini.
Namun, beberapa bulan setelah itu aku mendengar
khabar kurang baik tentangnya. Dia selalu saja sakit, pengsan dan terpaksa
menangguhkan pengajian. Tidak menyangka akan kondisi dirinya sebegitu. Mendengar
khabarnya dari senior satu universiti dengannya membuat kami berdoa dan
berharap supaya penyakitnya sembuh dan dia dapat meneruskan pengajian dengan
baik.
4 tahun berlalu tanpa khabar dari
senior-seniorku termasuklah dia. Sejak aku mengambil keputusan ke luar negara untuk
menyambung pelajaran dan kembali ke Malaysia, lagilah menghilang segala nombor
telefon dan berita daripada mereka. Akhirnya, baru-baru ini sedang aku menonton
tv tiba-tiba aku perasan sosok di tv tersebut adalah dia. Dia menjadi peserta
program dakwah dan dia kelihatan sihat seperti dulu! dia kembali memberi sesuatu untuk ummat. Namun, hari ini aku mendengar perkhabaran itu.....
Hari ini, bersamaan 27 rejab tarikh
peristiwa israk mikraj….dia diambil pulang ke pangkuan Allah swt. Bagaikan Anyss
yang naik ke langit, ruhnya juga diangkat bertemu pencipta yang abadi penuh
tenang. Damailah wahai hamba Allah, tenanglah sahabat seperjuanganku, semoga
semua lelah dan sakitmu terhenti dan dikau mendapat ganjaran yang
sebaik-baiknya….
“Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang
yang Engkau kasihi dan beriman. aku yakin hawa kebaikannya tidak akan hilang dan dikira sebagai amal soleh di pandanganMu...”
~catatan ini ku tulis sejurus selepas mendengar
perkhabaran tentang pemergiannya.~
No comments:
Post a Comment